KUALA LUMPUR 17 Ogos — Pusat pembelajaran My Tuition yang diwujudkan di Taman Bukit Angkasa, Kerinchi di sini diharap dapat dikembangkan bagi meningkatkan penyampaian sistem pendidikan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata pembinaan pusat itu dapat menggalakkan amalan pembelajaran di kalangan pelajar sekolah di negara ini selaras dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi pada era ini.
“Saya amat berharap agar usahasama dan perkongsian pintar antara pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan dapat disemarakkan agar bilangan My Tuition seperti ini dapat ditambah sebagai usaha kita menyokong hasrat kerajaan untuk menyediakan modal insan yang berkualiti,” katanya ketika merasmikan pusat itu hari ini. - Bernama