Isnin, Ogos 24, 2020

Bentuk Pemilikan Perniagaan

 

Bentuk Pemilikan
2.0       Bentuk-bentuk Pemilikan Perniagaan

Salah satu asas untuk mengelaskan sesuatu perniagaan ialah pemilikan perniagaan itu sendiri. Pemilikan perniagaan melihat perspektif pemilik atau tuan punya perniagaan. Terdapat empat bentuk pemilikan perniagaan iaitu pemilikan tunggal (sole proprietor), perkongsian (partnerships), syarikat / korporat dan koperasi. Setiap bentuk pemilikan perniagaan yang tersebut tadi mempunyai ciri-ciri, kelebihan dan kelemahan tersendiri.



2.1       Pemilikan Tunggal (Sole Proprietor / Trader)

Bentuk perniagaan ini seperti kedai runcit, pasar mini, warung paling banyak terdapat di Negara kita, Malaysia. Ciri-ciri utama bentuk perniagaan ini ialah:

1.  Dimiliki oleh seorang pemilik sahaja. Pemilik berperanan sebagai pengurus dan pekerja    perniagaan. Kadang-kala pemilik perniagaan dibantu oleh ahli keluarga ataupun satu atau dua orang pembantu yang digaji.

2.  Modal perniagaan disumbangkan oleh pemilik sendiri daripada hasil tabungan atau pinjaman daripada keluarga.

3.   Pemilik perniagaan ini mesti mendaftarkan perniagaannya dengan Pejabat Pendaftar Perniagaan. Pendaftaran perniagaan boleh dibuat dengan menggunakan nama pemilik seperti Kedai Runcit Ahmad Kamal ataupun nama perniagaan seperti Pasar Mini Pongsu Seribu.

4. Pemilikan tunggal merupakan sejenis perniagaan yang menjual satu jenis produk atau perkhidmatan yang tidak memerlukan modal yang besar.




Kelebihan Pemilikan Tunggal
  • Mudah ditubuhkan, dikembangkan dan dibubarkan.
  • Kos penubuhan dan  kos overhed perniagaan rendah.
  • Pemilik perniagaan bebas untuk mengurus, mengawal dan membuat keputusan perniagaan. 
  • Pemilik perniagaan mendapat kepuasan yang lebih kerana segala untung dan rugi menjadi        tanggungannya, memberi layanan secara peribadi kepada pelanggan.  
  • Cukai pendapatan secara perseorangan dan akaun perniagaan tidak perlu diaudit semasa dilaporkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Kelemahan Pemilikan Tunggal

Perniagaan pemilikan tunggal juga mempunyai beberapa kelemahan. Antara kelemahan-kelemahannya ialah :
  • Aset peribadi pemilik perniagaan berisiko tinggi kerana bentuk perniagaan ini berliabiliti tidak terhad.
  • Modal, idea dan kemahiran pengurusan pemilik perniagaan yang terhad menyukarkan pengembangan perniagaan.
  • Masa kerja pemilik perniagaan panjang dan tidak bebas untuk bercuti panjang.

2.2       Perkongsian (Partnerships)

Perniagaan perkongsian merupakan lanjutan daripada perniagaan tunggal. Bentuk perniagaan ini dibentuk secara gabungan dan diusahakan oleh dua orang atau lebih dengan matlamat memperoleh keuntungan. Pemilik-pemiliknya dikenali sebagai rakan kongsi perniagaan. Terdapat beberapa jenis rakan kongsi perniagaan. Antaranya ialah:

i.                    Rakan Kongsi Umum
·                     Mempunyai liabiliti yang tidak terhad
·                     Sangat aktif dalam aktiviti operasi perniagaan
·                     Menyumbangkan modal

ii.                  Rakan Kongsi Terhad
·                     Mempunyai liabiliti terhad
·                     Tidak aktif dalam aktiviti operasi perniagaan
·                     Menyumbangkan modal 

iii.                Rakan Kongsi Lelap / Tidur (Sleeping Partners)
·                     Menyumbangkan modal
·                     Berhak menerima keuntungan
·                     Tidak aktif dalam aktiviti operasi perniagaan 

iv.                Rakan Kongsi Nominal
·                     Tidak menyumbangkan modal
·                     Membenarkan nama digunakan
·                     Orang yang berpengaruh / mempunyai tahap kredibiliti yang tinggi
·                     Turut menanggung segala liabiliti perkongsian




Ciri-ciri Bentuk Perniagaan Perkongsian
  • Jumlah modal yang disumbangkan oleh rakan-rakan kongsi berasaskan syarat-syarat / persetujuan yang termaktub dalam perjanjian bertulis yang dikenali sebagai Artikel Perkongsian (Articles of Partnership).

  • Jumlah keuntungan diagihkan kepada semua rakan kongsi perniagaan berdasarkan syarat-syarat / modal yang telah dinyatakan dalam Artikel Perkongsian.

  • Sekurang-kurangnya dua orang pemilik tetapi tidak melebihi 20 orang bagi perniagaan biasa, 10 orang bagi bank, bilangan rakan kongsi tidak terhad bagi bidang professional.

  • Didaftarkan dengan Pejabat Pendaftar Perniagaan (ROB). Boleh mendaftarkan perniagaan perkongsian dengan menggunakan nama perniagaan atau nama rakan-rakan kongsi.
  • Liabiliti perniagaan tidak terhad kecuali bagi pekongsi berhad.A
  • Aktiviti operasian perniagaan diuruskan oleh rakan kongsi yang aktif. Sebagai balasan, rakan kongsi berkenaan dibayar gaji / elaun mengikut syarat-syarat perjanjian.
  • Perniagaan perkongsian tidak dikenakan cukai perniagaan. Rakan-rakan kongsi perlu membayar cukai pendapatan perseorangan.

Kelebihan Perniagaan Perkongsian
  • Mudah ditubuhkan. Perniagaan perkongsian merupakan lanjutan daripada perniagaan secara pemilikan tunggal. Oleh itu, prosedur untuk menubuhkan perniagaan perkongsian tidak banyak perbezaannya berbanding dengan perniagaan secara pemilikan tunggal.
  • Penggabungan banyak idea terutamanya pada peringkat awal penubuhan perniagaan perkongsian. Keupayaan berfikir daripada idea rakan kongsi yang banyak dapat memberi kelebihan keyakinan kepada perniagaan perkongsian untuk berhadapan dengan pesaing-pesaing yang sedia ada dalam pasaran.
  • Dapat menggemblengkan tenaga, kemahiran dan kepakaran yang berlainan. Perbincangan dan pengkhususan boleh dilakukan antara rakan-rakan kongsi.
  • Mudah mendapatkan sumber kewangan terutamanya daripada institusi kewangan. Pihak bank atau syarikat kewangan (Finance) mempercayai bahawa rakan kongsi yang ramai memudahkan perniagaan perkongsian untuk melangsaikan obligasinya.
  • Dapat mengembangkan kemampuan perniagaan. Dengan modal yang mencukupi hasil daripada sumbangan ekuiti rakan kongsi, perniagaan perkongsian dapat merebut peluang perniagaan serta memajukan perniagaannya dengan mudah.
  • Perniagaan perkongsian tidak dikenakan cukai perniagaan. Berdasarkan keuntungan yang diterima, rakan kongsi perniagaan perkongsian masing-masing diwajibkan oleh undang-undang untuk menjelaskan cukai pendapatan perseorangan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Kelemahan Perniagaan Perkongsian 
  • Liabiliti / Tanggungan yang tidak terhad. Semua rakan kongsi perniagaan perkongsian berliabiliti tidak terhad kecuali pekongsi-pekongsi berhad. Ini bermakna sekiranya perniagaan perkongsian itu terpaksa menggulung tikar, pihak pemiutang boleh menuntut hutangnya daripada aset peribadi rakan kongsi perniagaan itu.
  • Mudah berlaku konflik atau salah faham. Rakan kongsi yang ramai mudah mempengaruhi pembuatan keputusan. Pendapat dan karenah rakan kongsi yang berbeza-beza sering kali menjadi punca perselisihan faham atau pertelingkahan. Masalah ini akan menjejaskan keharmonian di kalangan rakan kongsi perniagaan itu.
  • Kewujudan perniagaan perkongsian tidak kekal. Sekiranya seorang rakan kongsi menarik diri daripada perniagaan perkongsian, meninggal dunia, tidak siuman atau diisytiharkan sebagai muflis, maka perkongsian itu dengan sendirinya terbubar. Jika rakan-rakan kongsi yang lain ingin meneruskan perniagaan perkongsian itu, mereka perlu mendaftarkan semula perniagaan perkongsian itu dengan Pejabat Pendaftar Perniagaan (ROB).P
  • Pemilikan perniagaan sukar untuk dipindahkan. Berdasarkan undang-undang perniagaan, hasrat seseorang rakan kongsi untuk memindahkan pemilikan perniagaannya perlu, terlebih dahulu, mendapatkan persetujuan daripada rakan-rakan kongsi perniagaan yang lain. Jika tidak, pemindahan pemilikan perniagaan itu adalah tidak sah.



2.3       Perbadanan Korporat

Perbadanan korporat merupakan suatu bentuk perniagaan yang ditubuhkan dibawah kuasa undang-undang (Akta Syarikat) dan didaftarkan melalui Pendaftar Syarikat. Ini bermakna perbadanan korporat yang berdaftar boleh menjalankan aktiviti-aktiviti perniagaan, memiliki atau menjual harta, meminjam wang, mengambil dan diambil tindakan oleh mahkamah dan membuat sebarang perjanjian dengan sebarang organisasi (Zumilah Zainalaludin, 1999, m.s 40).

Ciri-ciri Bentuk Perbadanan Korporat

Terdapat tiga jenis perniagaan secara perbadanan korporat iaitu syarikat sendirian (swasta), syarikat awam, dan badan berkanun. Selain itu, perbadanan korporat juga boleh dikelaskan kepada syarikat berhad atau syarikat tidak berhad. Syarikat berhad, tidak kira syarikat sendirian (swasta) atau syarikat awam, dibahagikan kepada syarikat berhad dengan jaminan, syarikat berhad dengan saham dan syarikat berhad dengan jaminan dan saham.

i.          Syarikat Sendirian Berhad (Swasta)
  • Syarikat-syarikat sendirian berhad boleh dikenali dengan mudah. Tiap-tiap nama syarikat sendirian berhad diakhiri dengan perkataan sendirian berhad atau Sdn. Bhd.
  • Pemilik atau pemegang saham syarikat sendirian berhad terdiri daripada 2 hingga 50 orang. Semua pemilik perniagaan berliabiliti terhad.
  • Pemilik / pemegang saham syarikat sendirian berhad yang menyumbang modal perniagaan. Mereka dilarang sama sekali untuk mengutip modal daripada orang awam.
  • Saham syarikat sendirian berhad boleh dijual beli tetapi tidak dilakukan secara terbuka di pasaran.
  • Pemegang saham yang memiliki 51% atau lebih daripada jumlah saham biasa syarikat sendirian berhad, berhak untuk mengawal syarikat sendirian berkenaan. 


ii.         Syarikat Awam Berhad
  • Syarikat awam berhad boleh dikenali melalui perkataan “Berhad” / Bhd. Di hujung nama syarikat berkenaan. Terdapat dua jenis syarikat awam berhad iaitu yang tersenarai di bursa saham seperti Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dan syarikat awam tidak tersenarai.
  • Modal syarikat awam berhad dikumpulkan melalui penjualan saham dan bon kepada orang awam.
  •  Pemegang saham syarikat awam berhad bebas menjual dan membeli saham di pasaran saham (BSKL). Ini bermakna pemindahan saham syarikat tidak perlu mendapat persetujuan pemegang-pemegang saham lain dalam syarikat.
  • Bilangan minimum pemegang saham adalah 2 orang dan boleh melebihi 50 orang. Jumlah pemegang saham itu bergantung kepada jumlah saham yang dipegang oleh ahli-ahli syarikat dan jenis saham yang diterbitkan.
  • Pemilik perniagaan ini berliabiliti terhad terhadap jumlah modal yang dilaburkan dalam perniagaan.
 
iii.        Syarikat Awam Berhad Dengan Jaminan
  • Dimiliki oleh ramai pemilik seperti persatuan-persatuan.
  • Tidak bermotifkan keuntungan, hanya bertujuan untuk menjaga kebajikan para pelabur perniagaan.
  • Dijamin oleh kerajaan atau agensi kerajaan.
 
iv.        Badan-badan Berkanun 
  • Ditubuhkan oleh pihak kerajaan yang bertujuan untuk membangunkan sesuatu industri atau menjaga kepentingan rakyat jelata.
  • Dibentuk di bawah Akta Parlimen.
  • Badan-badan berkanun yang menjalankan perniagaan seperti Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri, FELDA, Lembaga Pertubuhan Ladang dikenali sebagai perusahaan awam.
  • Beberapa badan berkanun di Malaysia telah diswastakan melalui Dasar Penswastaan dan Persyarikatan mulai tahun-tahun 1980-an. Antaranya, Sistem Telekom Malaysia, MAS, Tenaga Elektrik Nasional, Perkhidmatan Pos, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Universiti Malaya (UM) dan sebagainya. Saham-saham badan-badan berkanun berkenaaan telah dijual kepada masyarakat umum.


Kelebihan Perniagaan Perbadanan Korporat
  • Liabiliti pemilik terhad kepada jumlah modal yang dilaburkan.
  • Status perundangan jelas dan perlu dipatuhi dengan tepat. Pemegang-pemegang saham dilindungi oleh undang-undang.
  • Modal yang besar memudahkan perniagaan berkembang.
  • Bentuk perniagaan secara perbadanan korporat lebih stabil kerana ia entiti berasingan dengan pemilik perniagaan.
  • Pengurusan perniagaan secara perbadanan korporat lebih efisyen kerana ia duruskan oleh kumpulan pengurusan professional.
 
Kelemahan Perniagaan Perbadanan Korporat
  • Operasi perbadanan korporat dikawal oleh undang-undang yang ketat.
  • Pengurusan perbadanan korporat dikawal oleh lembaga pengarah dan bukan pemilik perniagaan. Pengurusan dan pemilik perniagaan khususnya syarikat awam dipisahkan. Pembaziran dan salah guna kuasa mungkin dan mudah berlaku.
  • Cukai yang dikenakan ke atas perbadanan korporat adalah lebih tinggi berbanding dengan lain-lain bentuk perniagaan. Cukai-cukai itu terdiri daripada cukai ke atas keuntungan syarikat yang belum diagihkan dan cukai ke atas dividen yang diperolehi oleh tiap-tiap pemegang saham.
  • Laporan kewangan syarikat perlu diaudit oleh juruaudit bertauliah sebelum diedarkan kepada pemegang-pemegang saham.
  • Laporan tahunan perbadanan korporat perlu dikemukakan kepada Pendaftar Syarikat dan pemegang-pemegang saham
  • Proses penubuhan dan pendaftaran perbadanan korporat lebih sukar dan kompleks berbanding perniagaan secara pemilikan tunggal dan perkongsian.



2.4       Koperasi

Koperasi merupakan suatu entiti perniagaan yang ditubuhkan secara sukarela untuk menjaga kebajikan ahli-ahlinya berdasarkan konsep kerjasama dan semangat tolong-menolong. Terdapat dua bentuk koperasi, iaitu koperasi yang keahliannya terhad kepada sesuatu jenis pekerjaan, kawasan dan latar belakang seperti Koperasi Guru-guru Semenanjung Malaysia, Koperasi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) dan koperasi yang keahliannya adalah bebas seperti Koperasi Perumahan, Koperasi Pengguna.


Ciri-ciri Koperasi
Modal koperasi diperolehi melalui yuran sama ada yuran bulanan ataupun yuran tahunan yang dibayar dan saham-saham yang dibeli oleh ahli-ahlinya.

Tiap-tiap ahli koperasi diwajibkan membeli sekurang-kurangnya 100 unit saham tetapi tidak melebihi satu perlima daripada jumlah modal koperasi.

Tiap-tiap ahli koperasi mempunyai hanya satu undi dalam sebarang perlantikan jawatan  koperasi.

Koperasi diurus dan ditadbirkan oleh ahli lembaga pengarah yang dilantik oleh ahli-ahli koperasi semasa Mesyuarat Agung Tahunan.

Pengurusan harian koperasi dikendalikan oleh jawatankuasa pengurusan yang dilantik oleh Lembaga Pengarah Koperasi.

Koperasi wajib didaftarkan dengan Jabatan Pembangunan Koperasi.

Keuntungan koperasi diagihkan kepada ahli, sama ada satu kali atau dua kali setahun, dalam bentuk dividen atau bonus atau kedua-duanya.


Kelebihan Koperasi
Mengutamakan kebajikan dan kepentingan ahli dan bukan hanya mencari keuntungan.

Menggemblengkan tenaga, modal dan mengumpul orang yang berminat untuk meningkatkan kedudukan ekonomi masing-masing melalui konsep kerjasama.

Kelemahan Koperasi
Aktiviti koperasi dikuasai oleh ahli-ahli lembaga pengarah kerana ahli-ahli koperasi kurang aktif.

Operasi koperasi dikawal rapi oleh Jabatan Pembangunan Koperasi. Jika koperasi tidak mematuhi peraturan operasi, pihak pendaftar Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) berhak untuk menutup operasi koperasi berasaskan kuasa yang ada padanya.

Laporan kewangan koperasi perlu diaudit oleh juruaudit dalaman dan juga juruaudit luaran yang bertauliah.

Mesyuarat agung tahunan yang dihadiri oleh ramai ahli mungkin boleh menggugat sistem pengurusan koperasi.